Peneraju Pembangunan Insan Negeri Kelantan
Peneraju Pembangunan Insan Negeri Kelantan
Amalan bulan Zulhijjah yang diamalkan oleh Baginda SAW
Di antara kelebihan dan kurniaan Allah SWT untuk hambaNya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda. Allah SWT berfirman :
وَٱلۡفَجۡرِ وَلَیَالٍ عَشۡر
Yang bermaksud: “Demi Fajar dan malam yang sepuluh.”
(Al-Fajr : 1-2)
Juga Nabi Muhammad ﷺ bersabda yang diriwayatkan Al-Bukhari dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini. Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (syahid).”
Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438), Ibn Majah (1727), al-Tirmizi (757)
Al-Hafiz Ibnu Hajar رحمه الله تعالى berkata : Di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Maka 10 hari terawal bulan Zulhijjah merupakan waktu yang perlu diperbanyakkan amalan bulan Zulhijjah yang telah diamalkan oleh Baginda SAW.
3 Amalan Bulan Zulhijjah
1. Solat
Disunatkan bersegera menuju ke tempat solat fardhu berjemaah dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan.
روى ثوبان رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: « عَلَيْكَ بكَثْرَةِ السُّجُودِ لِلَّهِ، فإنَّكَ لا تَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إلَّا رَفَعَكَ اللَّهُ بهَا دَرَجَةً، وحَطَّ عَنْكَ بهَا خَطِيئَةً » (رواه مسلم)، وهذا في كل وقت
Yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Thauban r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepadaNya, Allah akan angkatkan darjatmu kepadaNya dan dihapuskan kesalahanmu.”
[HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
2. Puasa
Puasa juga termasuk di dalam amalan bulan Zulhijjah. Dari Hunaidah b. Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah ﷺ berkata :
كان النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ تسعَ ذي الحجةَ ويومَ عاشوراءَ وثلاثةَ أيامٍ من كلِّ شهرٍ
Yang bermaksud : Rasulullah SAW berpuasa pada hari Sembilan Zulhijjah, pada hari ‘Asyura (10 Muharram) dan tiga hari setiap bulan.
[HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Imam Al-Nawawi berkata : Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat ang sangat digalakkan.
Bagi yang berkemampuan, hendaklah berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah disabdakan kelebihannya. Baginda SAW bersabda :
صيامُ يومِ عرفةَ إنِّي أحتسِبُ على اللهِ أنْ يُكفِّرَ السَّنةَ الَّتي قبْلَه والسَّنةَ الَّتي بعدَه
Bermaksud : “Puasa hari Arafah sesungguhnya aku mengharapkan Allah SWT menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
[HR Muslim]
3. Zikir
Rasulullah SAW menyebutkan bentuk zikir yang khusus sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda :
ما مِن أيَّامٍ أعظَمُ عِندَ اللهِ ولا أحَبُّ إليه مِن العَمَلِ فيهنَّ مِن هذه الأيَّامِ العَشرِ، فأكثِروا فيهنَّ مِن التَّهليلِ والتَّكبيرِ والتَّحميدِ
Yang bermaksud : Tidak hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.
[HR Ahmad]
Kata Imam Bukhari : “Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”
Ibnu Umar bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sattidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah.
Sepatutnya kita menghidupkan kembali Sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabi’in:
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرًا. – الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلاّ الله، والله أكبر، والله أكبر، ولله الحمد. – الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلاّ الله، والله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد
Kesimpulannya, ini adalah 3 amalan bulan Zulhijjah yang telah diamalkan oleh Baginda SAW. Semoga dengan peluang dan ruang telah diberikan oleh Allah SWT, kita semua dapatkan mengamalkan amalan-amalan tersebut.